Semua artikel

Tafsiran 'Man' dengan Allah

Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi12 Mei 2020 3 min bacaan

Saiz tulisan
19px
OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Telah disinggung sebelum ini bahawa ada pihak yang mempertikaikan tafsiran man dengan Allah dalam ayat:
أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ.
“Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada ‘man’ yang ada di langit menunggangbalikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta merta.”
Mereka mentakwil man dengan malaikat, pelaksana azab, atau apa-apa sahaja untuk mengelak mengisbatkan sifat 'uluww secara hakiki.
Sebenarnya, tafsiran man dengan Allah termaktub dalam kitab-kitab fiqh mazhab Shāfi‘ī sebagai dalil menerima keimanan orang yang mengucapkan “tiada Tuhan selain al-Malik yang ada di langit.” Imam al-Rāfi‘ī dalam al-‘Azīz, syarah al-Wajīz karangan Imam al-Ghazālī mengatakan:
وأنه لو قال: لا إله إلا الله المَلِكُ الذي في السماء، أو إلا مَلِك السماء، كان مؤمناً، قال الله تعالى:( أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ) وأراد نفسه تعالى وتقدَّس.
““Dan sekiranya ia mengatakan ‘tiada tuhan selain Allah, al-Malik yang berada di langit’ atau ‘kecuali Malik langit’, ia beriman. Kata Allah taala ‘adakah kamu berasa selamat daripada ‘man’ yang berada di langit?’ dan Dia memaksudkan diri-Nya ta‘ālā wa-taqaddasa.”
Imam al-Nawawī (676 H) mengekalkan nas ini dalam ringkasan al-‘Azīz, Rawḍah al-Ṭālibīn, dan demikian juga yang disebutkan oleh oleh Ibnu al-Rif‘ah (710 H) dalam Kifāyah al-Nabīh.
Shaykh al-Islām Zakariyyā al-Anṣārī (926 H) ketika menghuraikan kalam al-Ḥalīmī (403 H), “sekiranya ia mengatakan ‘tiada raḥmān atau bāri’ kecuali Allah’… atau, “man yang ada di langit’ memadai,” menyebut:
وَالْمُرَادُ بِمَنْ فِي السَّمَاءِ اللَّهُ. قَالَ تَعَالَى (أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ).
“Dan maksud ‘man’ yang ada di langit adalah Allah. Firman taala ‘adakah kamu berasa selamat daripada ‘man’ yang berada di langit?’”
Tetapi, selaras dengan akidah Ashā‘irah yang menjadi pegangan mereka, fuqaha Shāfi‘iyyah termasuk al-Ḥalīmī itu, tidak mengisbatkan makna “Allat di langit” secara hakiki, tetapi mentakwilnya dengan makna-makna tertentu seperti pusat pemerintahan atau mentafwīdnya secara mutlak. Dan selepas nas-nas tadi, mereka menjelaskan bahawa ibarat “... kecuali sākin al-samā’ (yang menetap di langit)” tidak diterima dengan 'illah sukūn (menetap) tidak harus bagi zat Allah sebagaimana manhaj Ashā‘irah.
Ulama Ḥanābilah-Salafiyyah dalam masalah menggunakan ibarat-ibarat seperti ini ada yang menolak dan ada yang menerimanya jika ditetapkan dengan makna yang betul, tetapi sebab penolakan adalah kerana tidak wārid daripada al-Quran dan sunnah, bukan semata-mata kerana “tidak harus bagi zat Allah.” Kata Syeikh Bakr Abū Zayd (1429 H), ulama Salafī terkenal zaman ini tentang penggunaan lafaz sākin al-‘arsh dalam doa merujuk Allah oleh Syeikh ‘Abd al-Raḥmān al-Wakīl (1390 H):
وهذا تعبير غير سليم؛ لأن القاعدة أن الصفات والأسماء توقيفية، وهذا اللفظ: (ساكن العرش) مما لم يرد، فلا يشرع إذاً الدعاء به...
“Penggunaan ibarat ini tidak elok kerana kaedahnya, sifat-sifat dan nama-nama (Allah) bersifat tawqīfī (terhenti pada nas), dan lafaz ini, ‘sākin al-‘arsh’ antara lafaz yang tidak wārid, maka tidak disyariatkan untuk digunakan dalam doa...”
Meskipun tidak ada dalam al-Quran mahupun sunnah, ibarat sākin al-samā’ diriwayatkan daripada Nabi Dāwūd AS dalam athar yang diriwayatkan daripada Thābit al-Bunānī, murid Anas b. Mālik RA dengan sanad yang disahihkan dan dikuatkan sebahagian ulama. Dalam al-Ibānah yang dinisbahkan kepada Abū al-Ḥasan al-Ash‘arī (324 H) pula, doa “wahai sākin al-samā’” dinukilkan daripada “ahl al-Islām seluruhnya.”
Wallahualam.
___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________