Semua artikel

Sujud Kaki Ulama

Taufiq Tuah1 Jun 2022 2 min bacaan

Saiz tulisan
19px

 OLEH: Taufiq Tuah


Saya masih ingat di awal-awal waktu saya menghadiri kuliah Ustaz Idris Sulaiman Hafizahullah. Saya salam tangan beliau dan menundukkan sedikit kepala ketika salam. 

Itu ialah amalan biasa bila saya salam orang lebih tua pada waktu itu. Kemudian ustaz menegur untuk tidak berbuat demikian. Pada hari yang lain, saya terbuat lagi perkara yang sama. Lalu ditegur lagi.

Rupanya menunduk kepala sahaja (belum pun sujud) sebenarnya ditegah untuk dilakukan kepada guru kita.

Ketika musim kovid naik, kita diajar untuk tak bersalaman tetapi harus menundukkan kepala. Ketika ini saya faham yang sebenarnya itu ialah perbuatan yang salah. Namun ada yang berhujah, kita bukan sembah, kita hanya tiru budaya timur (Jepun).  Sedangkan ketika zaman penjajah, ulama Nusantara semuanya membantah perbuatan tunduk 'saikeirei', 'senrei', dan 'Ojigi' (rukuk dan sujud kepada orang lain ala Jepun) kerana memahami konsep Tauhid yang mana tidak ada ketundukan seorang Muslim selain kepada Allah.

Ketika ini saya sering cadangkan untuk angkat tangan sahaja jika tidak mahu bersalam. Sebagaimana orang yang memberi salam dari jauh sambil mengangkat tangan tanpa melambai. 

Disebalik semua ini, sebenarnya ada yang ghuluw pula dengan sujud lalu cium pula kaki tokoh mereka. Sama ada dari tokoh tareqat, tokoh politik sehingga pemimpin negara. Tidak kira di negara mana, Nusantara, India hatta Arab sekalipun ada yang taksub sehingga sujud pada tokoh mereka.

Imam An-Nawawi menjelaskan,

وأما ما يفعله عوام الفقراء وشبههم من سجودهم بين يدي المشايخ – وربما كانوا محدثين – فهو حرام بإجماع المسلمين

“Adapun yang dilakukan oleh orang awam dan semisal mereka iaitu sujud kepada syaikh mereka –mungkin mereka ahli hadith” maka hukumnya haram dengan ijma’ kaum muslimin.” [Al-Majmu’ 2/79]

Pelik sebab ada jabatan agama guna nama Imam Nawawi untuk haruskan sujud sedangkan Imam Nawawi haramkan.

Walaupun ada kisah sebelum ini di dalam Al-Quran yang mana ada yang sujud kepada Nabi Yusuf Alaihissalam. Di dalam Surah Yusuf ayat 99-100.

Adi bin Hatim menjelaskan tafsir ayat di atas,

كانت تحية من كان قبلكم، فأعطاكم الله السلام مكانها

“ini (sujud) adalah penghormatan sebelum kalian (umat Islam), kemudian Allah gantikan (sujud) dengan ucapan salam.” [Tafsit Ibnu Abi Hatim hal. 2202]

Nak tahu banyak lagi kisah Nabi Yusuf boleh dapatkan di dalam buku di link ini https://shopee.com.my/product/236881290/6220158940...

Wallahualam

[Gerakan PENA Malaysia]