
Polemik Mengecas Telefon Di Dalam Masjid
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi11 Mei 2025 3 min bacaan
Saiz tulisan
19px
OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Satu malam, ketika jemaah masjid sedang solat maghrib atau isyak, ada seorang “rider” sedang mengisi air minuman daripada penapis air yang tersedia di kaki lima masjid ke dalam bekas airnya. Kemudian, dia pergi tanpa solat bersama. Mungkin dia tergesa-gesa menghantar pesanan yang baru diterima? Barangkali, fikir saya, namun perbuatannya membuat saya termenung.
Hari ini, kecoh di Facebook tentang hukum mengecas telefon menggunakan elektrik masjid. Sungguh saya tidak tahu bagaimana polemik ini mula-mula terpercik. Saya cuma sempat dengan beberapa fragmen ketika polemik sudah marak dan merebak. Rata-rata kawan-kawan Facebook saya tidak bersetuju dengan pendapat yang melarang, dan melontar beberapa hujahan mentah yang memperlekehkan, yang saya anggap keterlaluan dan menggambarkan betapa lemahnya malakah fiqhiyyah yang ada pada diri mereka (dan kerana itu saya tampil memberi sepatah dua kata).
Pendapat yang melarang, pada hemat saya wallahualam tentang hakikatnya, agak kuat. Saya menggunakan perkataan “agak kuat”, bukan “kuat” atau “tepat” dan orang-orang bijak pasti mampu menangkap maksudnya. Dan jikalau lemah sekalipun, pendapat ini lebih selamat. Pendek kata, pendapat ini wajar dipertimbangkan oleh kita selaku pelanggan (dan sebaliknya pula oleh pihak pengurusan masjid), dan tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah atau diperlecehkan sebagaimana pendapat-pendapat syaz dan tidak berasas.
Syeikh al-‘Uthaymīn rahimahullah pernah ditanya tentang hukum mengecas telefon di Masjidil Haram. Cuba teka apa jawabnya? Kalau mengikut pendapat yang dipertahankan oleh kawan-kawan Facebook saya, harus (dan mungkin disusuli dengan syarat-syarat tertentu seperti digunakan untuk perkara bermanfaat, bateri hampir habis, dan sebagainya). Namun, tidak, ini jawab beliau:
اسأل المسؤولين في الحرم هل تسمحون لي أن أشحنه من كهرباء الحرم أو لا؟ والجواب عندهم.
“Tanya petugas-petugas Masjidil Haram, ‘Adakah kamu membenarkan saya mengecasnya menggunakan elektrik Masjidil Haram atau tidak?’ Jawapan ada dengan mereka.”
Dalam laman web Islam QA kelolaan Syeikh al-Munajjid pula, jawapannya seperti berikut (terjemahan oleh ChatGPT):
الأحوط للمسلم أن لا يفعل ذلك ، وأن يسلك سبيل الورع، وقد قال النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لا يَرِيبُكَ ) رواه الترمذي (2518) وصححه الألباني في صحيح الترمذي .
وعليه أنه يقوم بشحن جواله في منزله قبل ذهابه إلى الحرم حتى يستغني بذلك عن استعمال كهرباء الحرم .
لكن إذا احتاج المسلم إلى ذلك فإنه يُرجى أن لا يكون عليه في ذلك حرج إن شاء الله تعالى إذا كان المسؤولون عن الحرم لا يمنعون ذلك ، وليقتصر على ما يحتاج إليه فقط ولا يزيد ، حتى لا يمنع أحداً من إخوانه المسلمين من شحن جوالاتهم ، وقد يكونون محتاجين إلى ذلك مثل حاجته أو أشد .
والله تعالى أعلم .
“Adalah lebih berhati-hati bagi seorang Muslim untuk tidak melakukan perkara tersebut dan memilih jalan wara' (berhati-hati dalam perkara syubhah). Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu." (Riwayat al-Tirmizi, no. 2518, dan disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi).
Oleh itu, adalah lebih baik jika seseorang mengecas telefon bimbitnya di rumah sebelum pergi ke masjidil haram, supaya dia tidak perlu menggunakan elektrik di masjid.
Namun, jika seorang Muslim memerlukan untuk mengecas telefon bimbitnya di masjidil haram, diharapkan tidak ada masalah dalam hal itu, insya-Allah, JIKA PIHAK BERKUASA MASJID TIDAK MELARANGNYA. Namun, dia hendaklah mengehadkan penggunaannya kepada apa yang diperlukan sahaja dan tidak berlebihan, supaya tidak menghalang saudara Muslim yang lain daripada mengecas telefon mereka, kerana mungkin ada yang lebih memerlukannya atau sama memerlukan.
Allah SWT lebih mengetahui.”
Jadi, kesimpulannya, seperti yang saya sebutkan tadi, pendapat yang melarang agak kuat dan mempunyai asas yang kukuh untuk dipertimbangkan (dan tidak dipersoal dengan soalan-soalan keanak-anakan, seperti "Kalau begitu, berehat di masjid tidak boleh buka kipaskah?" sedangkan semua maklum tujuan kipas disediakan di masjid dan semua tahu bahawa kipas tersebut tidak dicas lalu dibawa balik).
Dan sekadar cadangan untuk menghentikan polemik ini (sebenarnya banyak isu boleh diselesaikan dengan mudah jika kita pandai menukar pendekatan), masjid-masjid mengadakan perkhidmatan mengecas telefon bimbit dengan caj tertentu (contohnya, RM1 untuk sejam) dan notis ditampal siap-siap di dinding. Selain boleh menjana pendapatan, jemaah yang terdesak boleh mengecas telefon dengan aman. (Dan untuk sementara waktu, bagi yang terpaksa, masukkan duit ke dalam tabung dengan niat membayar kos elektrik yang digunakan).
Terima kasih kerana membaca sampai habis. Maaf kalau tersinggung, kerana beginilah lazimnya kita dengan adik-beradik sendiri. Wallahualam.