Semua artikel

BANYAK FITNAH BERLAKU MASA KEMATIAN

Taufiq Tuah12 Jun 2026 1 min bacaan

Saiz tulisan
19px
Tajuk ini ialah keterangan yang dibawa oleh Abu Zinnirah kepada saya. Rupanya jika berlaku kematian, daripada sebelum dikebumikan sampailah selepas dikebumikan ada sahaja ruang-ruang syubhat.
Sebelum kematian, waktu tengah sakit. Orang berubat dengan uskun dan amalan yang batil. Selepas mati sebelum kebumi, ada macam-macam khurafat mengikut adat setempat.
Ketepikan dahulu bab baca yasin untuk orang mati, itu memang tiada dalam syariat dan diada-adakan. Ada lagi parah dari itu.
Ada yang letak sesuatu atas jenazah. Ada letak gunting lah, besi lah apa lah. Kononnya taknak bagi jenazah kembang dan elak gangguan makhluk halus.
Ada juga yang suruh tutup cermin. Kononya supaya roh tak tertangkap dalam cermin itu. Ada yang bakar kemenyan untuk bilik khas roh. Ada yang nak waris langkah jenazah. Ada juga yang larang kucing lalu bawah keranda.
Masa kebumi, ada yang letak kunyit, garam dekat kubur. Ada yang letak buah kelapa muda. Ada juga yang nak letak Al-Quran dalam liang. Ada yang minta kain kafan jenazah tu sikit untuk diikat di tangan waris.
Ada yang meminta tadahan air mandian jenazah untuk waris mandi dengannya. Banyak lagi lah benda pelik-pelik yang dibuat ini tanpa asas dari agama malah bersifat khurafat.
Juga selepas pengebumian adanya talkin dan kenduri arwah. Ini semua juga tiada dalam sunnah dan termasuk dalam bidaah yang buruk.
Hampir sahaja setiap inci proses pengebumian dan selepas pengebumian itu boleh dijadikan ruang bidaah dan khurafat. Allahumustaan. Itulah sebabnya penting yang mengendalikan jenazah ialah orang-orang yang memahami sunnah.
Sebenarnya saya tiadalah kekuatan. Tapi saya harap agar setiap kawasan ada team yang menguruskan jenazah mengikut sunnah. Kalau ada cadangan bagaimana menghidupkan kumpulan seperti ini di pelbagai kawasan, boleh berikan di komen. Wallahualam.
Taufiq Tuah
14.01.26 | 24.07.47