Kesenangan Dan Kesusahan.
Ustaz Muhammad Fahmi Rusli1 Jan 2022 2 min bacaan
OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli.
Setiap kita pasti akan diuji dengan dua bentuk ujian, iaitu kesenangan dan juga kesusahan.
Sewaktu senang, Allah SWT menguji kita sama ada kita menggunakan waktu tersebut untuk mengingati Allah dengan melakukan ketaatan atau melupakan Allah dengan melakukan kemaksiatan.
Dua aspek ini, iaitu taat atau maksiat semasa senang, amat-amat memberi kesan saat kita diuji dengan kesusahan.
Cuba teliti berkenaan ujian yang menimpa Nabi Yunus A.S. Ketika baginda diuji dengan kesusahan ditelan oleh ikan nun, Allah SWT menyelamatkannya serta mempermudahkan urusannya. Dalam satu ayat Allah mengatakan :
فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Maksudnya : Kalaulah tidak kerana dia (Yunus) tergolong dalam kalangan mereka yang banyak bertasbih, nescaya dia akan kekal berada di dalam perut ikan nun sehingga hari kiamat.
Surah Al-Saaffat (143-144).
Ayat ini memberi isyarat, zikir-zikir tasbih yang dibaca oleh Nabi Yunus semasa senang, menjadi faktor penyelamatnya semasa baginda susah.
Demikianlah sebaliknya bagi seseorang yang semasa dalam kesenangan, namun dia mengisinya dengan melupakan Allah menerusi perbuatan maksiat.
Lihat contohnya pada kisah Firaun. Seorang taghut yang mendakwa dirinya Tuhan semasa berada di puncak kuasa penuh kesenangan. Namun semasa dia berada dalam kesulitan, dalam keadaan lemas di lautan, dia pun berkata : “aku telah beriman..” maka Allah SWT menjawab :
آلْآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ
Maksudnya : Adakah sekarang baru kamu ingin beriman sedangkan sebelum ini kamu derhaka, dan kamu tergolong dalam kalangan orang yang berbuat kerosakan.
Surah Yunus (91).
Nabi Yunus ketika dia senang dia tergolong dalam kalangan (المسبحون) iaitu orang yang bertasbih kepada Allah. Lalu ketika dia susah, Allah mengingatinya serta menolongnya.
Firaun ketika dia senang dia tergolong dalam kalangan (المفسدون) iaitu orang yang berbuat kerosakan. Lalu ketika dia susah, Allah mengabaikannya serta tidak menolongnya.
Inilah intipati dari hadis yang disebutkan oleh Rasulullah SAW :
تَعَرَّفْ إلَى اللَّهِ فِي الرَّخَاءِ يَعْرِفُك فِي الشِّدَّةِ
Maksudnya : Kenalilah Allah semasa kamu senang, nescaya Allah akan mengenali kamu semasa kamu susah…..